PEQ Consult Sdn. Bhd. (199401028285 / 313966-A)

Registered with Board of Town Planners Malaysia (BC0049)
Registered with Malaysian Institute of Planners (PC/C/240/2019)
Certificate Of Practice (COP 0059)
Ministry of Finance (MOF) Certificate (J10962359693477821)

Program Bandar Selamat: Inisiatif Pencegahan Jenayah

Tahukah anda, program bandar selamat sebenarnya sudah lama diusahakan di seluruh Malaysia? Program tersebut memainkan peranan yang amat penting untuk membuka jalan untuk kita beralih kepada kawasan bandar yang bebas jenayah demi memastikan keselamatan komuniti bandar. Namun begitu, masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang kurang cakna mengenai inisiatif ini.

Tambahan pula, boleh diperhatikan bahawa kekerapan kejadian jenayah kekerasan dan harta benda seperti mencuri, merompak, merogol, pecah rumah, bunuh, dan sebagainya semakin meningkat di kawasan bandar. Oleh itu, mekanisme pelaksanaan bandar selamat perlu diimplementasikan dengan lebih baik untuk menjaga keselamatan semua penduduk.

Pertama Sekali, Apakah Itu Konsep Bandar Selamat?

Dari segi sejarah, konsep bandar selamat adalah sebuah konsep pembangunan bandar yang telah dikemukakan oleh United Nations, Urban Habitat seawal tahun 1996.  Secara ringkasnya, konsep bandar selamat bertujuan untuk mencapai matlamat pembangunan yang lebih holistik, iaitu mewujudkan persekitaran bandar yang mampan dan selesa didiami.

Pastinya, keselamatan tempat kediaman perlu dijadikan prioriti demi mewujudkan sebuah bandar yang sejahtera dan berdaya huni. Walaupun begitu, konsep bandar selamat bukan hanya mengetengahkan keselamatan persekitaran fizikal sahaja, ia turut memberi tumpuan kepada keselamatan ekonomi, alam sekitar, budaya, dan sosial sebuah bandar.

BACA LAGI: Pengenalan kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa

Konsep Bandar Selamat Dalam Konteks Malaysia

Di Malaysia khususnya, pelaksanaan program bandar selamat telah diutarakan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia pada awal tahun 1998 sebagai cadangan bernas untuk membanteras masalah jenayah tempatan. Bertitik tolak daripada hal ini, pihak kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mula melancarkan Program Bandar Selamat pada tahun 2004.

Sehingga kini, konsep bandar selamat dilaksanakan berdasarkan garis panduan Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED) yang disediakan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Konsep CPTED berasaskan “reka bentuk persekitaran fizikal terperinci secara efektif boleh mempengaruhi perlakuan manusia dari melakukan kesalahan serta mengurangkan perasaan takut berlakunya jenayah dan insiden jenayah di samping meningkatkan kualiti persekitaran dan kehidupan”.

CPTED mengaplikasikan empat prinsip untuk menghasilkan persekitaran fizikal yang lebih selamat selain meningkatkan kualiti kehidupan di bandar. Empat prinsip universal CPTED ialah:

  • Pengawasan semulajadi (natural surveillance)

Meningkatkan tahap pengawasan dari pelbagai sudut sama ada dari dalam atau luar bangunan oleh para penduduk melalui reka bentuk bangunan, lokasi tingkap, dan sebagainya.

  • Pengawalan akses semulajadi (natural access control)

Menghalang seseorang yang tidak sepatutnya ada di kawasan tersebut menerusi pelbagai elemen fizikal seperti pagar dan pintu dengan kad keselamatan.

  • Kejelasan sempadan (territorial reinforcement)

Menunjukkan pemilikan sesuatu kawasan dengan jelas dengan menggunakan pelbagai elemen fizikal seperti pintu, pagar, dan seterusnya.

  • Penyelenggaraan dan pengurusan (maintenance and management)

Memastikan tiada bangunan usang atau terbiar yang boleh menjadi pusat jenayah dengan penyelenggaraan dan pengurusan secara berkala.

Kesemua prinsip CPTED di atas boleh dilaksanakan dengan bantuan tiga strategi iaitu:

  • Pengawasan semulajadi (natural surveillance)

Melalui reka bentuk reruang, penyediaan landskap, dan lain-lain.

  • Pengawasan mekanikal (mechanical surveillance)

Dengan menggunakan alatan elektronik dan mekanikal seperti penggera keselamatan, CCTV, cermin keselematan, dan sebagainya.

  • Pengawasan terancang (organised surveillance)

Melalui rondaan polis, pengawal keselamatan, komuniti penduduk, dan lain-lain.

BACA LAGI: Konsep, Ciri-ciri, dan Kepentingan Pembangunan Bandar Pintar

Matlamat Utama Konsep Bandar Selamat

Apabila membicarakan soal keselamatan di bandar, tidak lengkap rasanya jika tidak membincangkan tentang empat matlamat utama untuk mewujudkan bandar selamat dan sejahtera.  Empat matlamat tersebut ialah:

  • Bandar yang bebas jenayah keganasan

Sifar gejala pecah rumah, ragut, curi, rogol, dan sebagainya

  • Bandar yang bebas dari kemusnahan ekoran bencana alam

Banjir kilat, tanah runtuh, gempa bumi, dan lain-lain.

  • Bandar yang bebas dari kemerosotan sosial dan moral

Seperti rasuah, salah guna kuasa, penagihan dadah, dan jenayah kolar putih.

  • Bandar yang bebas dari kemalangan dalam dan luar bangunan

Kemalangan jalan raya, kemalangan kebakaran, dan seterusnya.

BACA LAGI: Bagaimana untuk Mendapatkan Kebenaran Merancang di Malaysia?

Contoh Pelaksanaan Konsep Bandar Selamat

A. Memperbaiki Reka Bentuk Persekitaran Fizikal 

  • Penyelidikan pencegahan jenayah bandar menerusi reka bentuk persekitaran
  • Penyediaan bollard dan perkongsian informasi jenayah melalui GIS-based mapping

B. Mengetengahkan Kesedaran Awal dan Kegiatan Kemasyarakatan

  • Memberikan pendidikan awal
  • Menyediakan risalah jenayah komuniti
  • Mengelolakan rondaan di sekitar kawasan perumahan

C. Memperkasakan Kawasan Sasaran

  • Menyediakan papan tanda peringatan jenayah, cermin keselamatan, penggera keselamatan, dan CCTV
  • Membina pondok polis
  • Menyelenggara bangunan terbiar dan mengemaskan kawasan semak-samun
  • Memastikan lorong-lorong sunyi diterangi cahaya lampu yang cerah

Cegah Jenayah Dengan Konsep Bandar Selamat

Secara konklusinya, konsep bandar selamat bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang enteng. Memahami kepentingan konsep ini, kami di PEQ Consult sentiasa berusaha untuk menawarkan perkhidmatan perancangan bandar terbaik dengan mengaplikasikan pengalaman industri kami yang sudah bertahun-tahun lamanya.

Facebook
Twitter
LinkedIn

Related Posts