Akta perancangan bandar dan desa merupakan satu usaha pihak Kerajaan untuk mengawal dan melaksanakan perancangan bandar dan desa dengan lebih sempurna. Pada asasnya, perancangan bandar dan desa boleh ditakrifkan sebagai gabungan seni dan sains mengenai kaedah mengatur kegunaan tanah (termasuk bangunan dan rangkaian pengangkutan) secara praktikal dan pragmatik.
Ianya bertujuan untuk meraih keselesaan dan penjimatan optimum, sekaligus meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Proses perancangan bandar dan desa memainkan peranan yang penting dalam membina suasana hidup yang ideal.
Tambahan pula, penggunaan tanah yang tidak teratur akan mengakibatkan masalah besar kepada penduduk dan Pihak Berkuasa Tempatan. Selaras dengan kehendak petempatan, dasar-dasar telah digubal serta dijadikan panduan untuk mewujudkan pembangunan yang mampan, teratur, dan holistik.
Aktiviti perancangan bandar dan desa berada di bawah tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Ini bermaksud kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu bersama-sama berusaha ke arah menyediakan kehidupan yang selesa serta memastikan penggunaan, pemajuan dan pembangunan tanah dan bangunan yang selamat dan terbaik untuk kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
BACA LAGI: Program Bandar Selamat: Inisiatif Pencegahan Jenayah
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)
Akta 172 digubal menurut perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan dan hanya berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia, kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Hal ini dikatakan demikian kerana Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai dasar perancangannya sendiri.
Akta ini diwujudkan bagi menyelaras serta memastikan undang-undang yang teratur sebagai satu mekanisme untuk mengawal pembangunan bandar dan desa. Akta 172 telah diwartakan pada 25 Mac 1976. Pada awalnya, Akta 172 mempunyai 9 Bahagian dan 59 Seksyen, namun telah dipinda dan digarap semula untuk memenuhi kepentingan semasa masyarakat.
Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1993 (Akta A866)
Pada tahun 1993, Akta 172 dipinda untuk menambah peruntukan berkaitan dengan aktiviti pembentungan agar ianya selaras dengan Akta Perkhidmatan Pembentungan 1993 (Akta 508) yang diperkenalkan pada tahun yang sama. Akta pindaan ini seterusnya dikenali sebagai Akta A866.
Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1995 (Akta A933)
Kemudian, Akta 172 telah dipinda sekali lagi untuk menangani masalah berkaitan dengan alam sekitar, khususnya pemeliharaan pokok. Pindaan ini juga merupakan inisiatif bagus untuk mencegah kejadian tanah runtuh.
Akta A933 mementingkan usaha pemeliharaan alam sekitar yang telah diabaikan akibat aktiviti pembangunan yang tidak teratur. Peruntukan ini dapat dilihat di Bahagian 5A dari seksyen 35A hingga 35H Akta 172.
Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (Akta A1129)
Seterusnya, Akta 172 dipinda sebagai usaha untuk menangani masalah kegawatan ekonomi yang melanda industri hartanah negara. Akta A1129 memperuntukkan dua bahagian baharu iaitu Bahagian IIA Jawatankuasa Perancang Wilayah serta Bahagian IIB Rancangan Fizikal Negara. Selain itu, Akta A1129 turut memasukkan beberapa pendekatan baharu untuk menambah baik kawalan perancangan dan sistem rancangan pemajuan yang sedia ada.
BACA LAGI: Bagaimana untuk Mendapatkan Kebenaran Merancang di Malaysia?
Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2007 (Akta A1313)
Pada tahun 2007, Akta 172 dipinda sekali lagi dan dikenali sebagai Akta A1313. Pindaan tersebut dilaksanakan untuk memuatkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Ini membolehkan pihak berkuasa untuk mengambil kira perihal tersebut semasa menjalani proses untuk memperoleh kebenaran merancang.
Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2017 (Akta A1522)
Diwartakan pada 16 Januari 2017, Akta A1522 melibatkan dua pindaan. Dua pindaan tersebut dilakukan untuk meningkatkan pembinaan serta pembangunan inklusif yang berdasarkan impak sosial, atau Social Impact Assessment (SIA). Pindaan ini menggalakkan pihak berkuasa untuk membuat keputusan yang mengurangkan kesan negatif serta mementingkan kepentingan awam.
BACA LAGI: Jururancang Bandar: Merancang Bandar Yang Lestari Dan Inklusif
Kesimpulan
Perancangan bandar, wilayah dan desa adalah amat penting untuk membina kehidupan yang berkualiti dan persekitaran yang lestari. Proses perancangan bandar dan desa yang pragmatik dapat mengawal pembangunan tanah dan bangunan serta melahirkan masyarakat yang bertamadun.